Transformasi TRW bawa perubahan

(dari kiri) Alaa Hussein,George Boateng dan Prince Tagoe
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) berharap tindakan drastik mereka membawa masuk jurulatih dan dua pemain import baharu mampu membawa perubahan terhadap prestasi pasukan Kelantan bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata, menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan tiga teratas, mengekalkan kejuaraan Piala FA selain memburu trofi Piala Malaysia kini menjadi sasaran utama Kelantan setelah melakukan transformasi mengejut dengan menggugurkan dua pemain dan jurulatih import, baru-baru ini.

“Rombakan yang dibuat ini merupakan perubahan cukup besar dan kita berharap kehadiran tiga individu ini dapat meningkatkan prestasi pasukan. Semua pihak boleh menjangkakan apa kita lakukan adalah satu usaha yang serius bagi memperbaiki kedudukan Kelantan dalam Liga Super.

“Bagi Kafa, peningkatan prestasi pasukan menjadi keutamaan kita sekarang. Setelah meneliti dan menganalisis pemain import yang digugurkan serta kemasukan pemain baharu, kita yakin kehadiran tiga muka baharu ini akan memberi nilai tambah kepada kekuatan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan jurulatih dan pemain di Kafe The Red Warriors Station, semalam.

Hadir sama, Ketua Jurulatih baharu Kelantan, George Boateng, Hussein Alaa Hussein Salman dan Prince Tagoe.

Kehadiran pemain Iraq, Hussein Alaa dan penyerang kebangsaan Ghana, Tagoe adalah bagi menggantikan pemain Lubnan, Mohamad Ghaddar dan Obinna Nwaneri (Nigeria) yang digugurkan oleh Kelantan akibat masalah kecederaan serta disiplin, baru-baru ini.

Tambahnya, Hussein Alaa sudah memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan Tagoe pula kini dalam proses mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), dan akan turun menjalani latihan secara rasmi bersama Kelantan, bermula hari ini.

Menurutnya, biar pun Boateng tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan, namun beliau percaya bekas pemain antarabangsa Belanda berusia 39 tahun itu mampu menggalas tugas yang ditinggalkan Steve Darby.  

“Dua pemain import dan jurulatih ini hanya menandatangani kontrak selama enam bulan hingga berakhir saingan Liga-M musim ini. Soal kontrak lanjutan (musim depan) kita akan bincang kemudian dan saya ingin tegaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka akan dinilai dari semasa ke semasa oleh Kafa,” katanya.

Sementara itu, Boateng memberitahu, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab membimbing Kelantan selepas peralihan kuasa daripada pengendali lama, Darby yang dipecat baru-baru ini.

“Saya percaya Kelantan masih berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan. Peralihan kuasa (penyingkiran Darby) tidak bermakna pasukan ini tidak boleh mencipta kejayaan.

"Saya tahu harapan peminat dan media di sini cukup tinggi tetapi jika kita bekerja keras, Kelantan boleh merangkul kejuaraan bagi musim ini,” katanya.

www.sinarharian.com.my

0 Response to "Transformasi TRW bawa perubahan"

Post a Comment