'Hanya fikirkan Kelantan'

Felda United
Atas kertas, skuad Felda United memiliki misi yang cukup besar iaitu mahu kembali 'dinaikkan pangkat' ke saingan Liga Super musim depan.

Namun pengendali The Settlers, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak-anak buahnya kekal fokus berdepan Kelantan terlebih dahulu menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Menurut beliau, segala perit-jerih pemain mengharungi ranjau penuh berliku dalam saingan Piala FA pastinya lebih bermakna sekiranya berjaya melangkah ke pentas final.

Biarpun sedar misi kembali ke kancah Liga Super musim depan masih menjadi keutamaan, Irfan tetap memasang impian supaya anak-anak buahnya berjaya mengekang hasrat Kelantan untuk mendakap trofi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.

"Kami sudah mara sejauh ini, sudah tentu kami akan berusaha sedaya-upaya untuk mara ke pentas final.

"Jadi lupakan seketika saingan Liga Premier, kami akan fokus berdepan Kelantan terlebih dahulu," kata Irfan.

Namun, beliau menyedari tugas getir yang bakal menanti pemain The Settlers dalam usaha memburu bekalan selesa menjelang aksi separuh akhir kedua di laman sendiri pada 31 Mei depan.

"Dalam bola sepak, apa juga kemungkinan boleh berlaku.

"Jadi, saya harap pemain kekal berwaspada dan mampu menyerap tekanan dalam kedua-dua aksi timbal balik.

"Kami akan berusaha melakar keputusan yang baik di Kota Bharu sebelum mencongak strategi di laman sendiri.

"Saya percaya pemain tidak gentar dan akan berjuang bermati-matian biarpun Kelantan beraksi dalam saingan Liga Super," jelas beliau.Selepas berdepan Kelantan, Felda United yang kini menduduki tangga kedua Liga Premier bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan Jumaat ini.

www.kosmo.com.my

0 Response to "'Hanya fikirkan Kelantan'"

Post a Comment