Perancis tidak memandang rendah keupayaan England menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pembukaan Kumpulan D Euro 2012, Isnin ini.
Perancang utama Perancis, Franck Ribery berkata, dia bersama rakan-rakan sepasukannya harus bersedia sebaik wisel permulaan dibunyikan bagi menghadapi skuad The Three Lions itu.
"Rabu lalu, saya telah menyaksikan perlawanan persahabatan England menentang Belgium yang menyaksikan The Three Lions menang 1-0.
"Mereka bertahan dengan baik dan beraksi dengan melancarkan serangan balas. Di barisan hadapan, mereka memiliki Andy Caroll dan Danny Welbeck yang memiliki karakter tersendiri.
"Welbeck dilihat lebih ringan ketika memegang bola dan suka mengelecek berbanding Caroll lebih gemar merembat bola dan menggunakan fizikal," kata Ribery.
Ribery menambah: "Begitupun, kami telah melakukan beberapa 'kerja rumah' untuk menentang mereka. Menjelang perlawanan itu, kami masih berada dalam situasi yang tenang.
"Kami tidak perlu meletakkan sebarang tekanan pada perlawanan itu nanti," ujarnya.
Dalam pada itu, Ribery menegaskan, dia sudah melupakan insiden penyokong-penyokong Les Bleus mengejeknya, selain terlibat dengan seks skandal dengan seorang pelacur.
Lebih manis, Ribery berjaya menamatkan kemarau jaringan ketika menentang Iceland pada aksi persahabatan bulan lalu.
"Saya gembira kerana penyokong-penyokong mula yakin dengan persembahan saya.
"Kini saya merupakan salah seorang pemain senior Perancis dan mengalas satu tanggungjawab bersama pasukan," katanya. - AFP
0 Response to "EURO 2012 - Perancis enggan mendabik dada."
Post a Comment