SIAPA main lebih baik akan menang! Demikian pendapat dikongsi bersama jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic menjelang aksi persahabatan antarabangsa ‘Cabaran Tambak 2012’ di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.
Sambil membayangkan tiada rombakan besar berbanding kesebelasan ketika seri 0-0 dengan Filipina Jumaat lalu, Rajagobal menganggap para pemainnya dalam mood terbaik untuk melakar sejarah kemenangan sulung di tempat lawan sejak menewaskan Sri Lanka 4-1 di Colombo pada 2007, ketika dibimbing Norizan Bakar.
“Apabila bertemu Singapura, tiada lagi motivasi tambahan perlu diterangkan kepada pemain. Mereka sudah tahu ini ialah pertembungan dengan musuh tradisi dan sudah semestinya perlu menang.
“Tak banyak perbezaan boleh dilihat. Kita sudah tahu pemain Singapura dan mereka juga sudah tahu pemain kita. Segalanya bergantung kepada prestasi pemain (malam ini).
“Jurulatih hanya mempersiap pasukan, pemain sendiri sebagai pelakon yang perlu laksana tanggungjawab mereka di atas padang,” kata Rajagobal pada sidang media pra perlawanan di Stadium Jalan Besar, semalam.
Avramovic pula seakan cuba bermain psikologi dengan menganggap Malaysia memiliki kelebihan daripada segala aspek apabila dia bakal menurunkan ramai muka baru dan pemain muda.
“Berbanding aksi terakhir bertemu Malaysia tahun lalu, 12 pemain tiada kali ini. Tapi sama seperti perlawanan lain, kami tetap cuba untuk menang perlawanan ini selepas tewas 0-1 kepada Hong Kong (Jumaat lalu).
“Kami perlu ubah corak taktikal kerana Malaysia pasukan yang berkualiti.
Mereka mempunyai kelebihan kerana ramai pemain sudah lama beraksi bersama dan mempunyai tempoh masa lebih menjalani latihan pusat,” ujar pengendali dari Serbia itu.
Wan Fakhrul Bakar-Berita harian.
0 Response to "Harimau Malaya - ‘Singa’ terpaksa tukar taktik."
Post a Comment