Boateng fokus mahu cari tiga mata

Boateng (kiri) mengendalikan sesi latihan ringan pasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV.
SETELAH misi memburu kemenangan sulung pada aksi separuh akhir pertama Piala FA gagal dilaksanakan, pengendali The Red Warriors, George Boateng kembali mengalih tumpuan dengan tugasan baharu, kali ini mahu memperbaiki kedudukan pasukannya dalam saingan Liga Super musim ini.

Boateng berkata, pertemuan menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini, bakal menjanjikan aksi sengit, namun menegaskan Kelantan tetap mahukan tiga mata pada perlawanan tersebut bagi memastikan pasukannya menamatkan saingan liga musim ini dalam kelompok empat teratas. 

Menurutnya, dia mengarahkan anak buahnya melupakan segera aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Felda United FC pada Selasa lalu yang berkesudahan seri 3-3, sebaliknya kembali fokus terhadap pertemuan menentang pasukan berstatus kelab itu.

“Saya menyaksikan rakaman perlawanan pertama (Kelantan menentang PKNS FC) dan kami terlebih dahulu menjaringkan gol pertama. Malangnya mereka mendapat gol mudah menerusi ‘set piece’ sehingga menyebabkan moral semua pemain Kelantan merudum.

“Kekalahan itu sangat mengecewakan tetapi kami sudah mendapat kekuatan baharu sekarang. Francis Forkey Doe dan Ahmad Fakri Saarani kembali menemui sentuhan penyudah dan saya menaruh kepercayaan terhadap mereka untuk terus meledak malam esok (ini),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tanpa tonggak utama yang digantung perlawanan mahu pun mengalami kecederaan, bekas pemain antarabangsa Belanda itu memberitahu, pasukannya terbang ke ibu negara tengah hari semalam dengan barisan terkuat bagi menghadapi Sang Semut Api itu.

“Tiada kecederaan serius, malah Ahmad Fakri juga berada dalam perancangan saya untuk diturunkan.

"Mungkin saya akan menurunkan skuad yang sama tetapi saya tidak boleh memberitahu anda (wartawan) senarai 11 pemain yang dimaksudkan itu,” katanya.

Bagaimanapun, pengendali berusia 39 tahun itu mengakui PKNS FC yang dibimbing jurulatih pengalaman, Wan Jamak Wan Hassan bukanlah calang-calang pasukan memandangkan mereka pernah mengejutkan Kelantan 2-1 pada aksi pusingan pertama di Kota Bharu, Januari lalu.

“Penyerang import Liberia (Patrick Ronaldinho Wleh) adalah kunci utama kekuatan PKNS FC.

"Kita akan lihat sejauh mana benteng pertahanan kita mampu merantai pergerakannya tetapi pada masa sama kita perlu mengeksploitasi kelemahan mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi latihan terakhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Boateng bersama anak buahnya mengambil kesempatan menganalisa kelemahan yang menghantui pasukannya pada pertemuan menentang Felda United FC, tempoh hari.

“Menariknya, kami memberikan tiga gol mudah buat pasukan lawan tetapi Forkey Doe menjaringkan gol dengan cara menakjubkan.

"Kita cuba untuk memastikan situasi buruk ini (melepaskan tiga gol) tidak berlaku lagi pada pertemuan dengan PKNS FC malam esok (ini),” katanya .

sinarharian.com.my

0 Response to "Boateng fokus mahu cari tiga mata"

Post a Comment