Laluan berliku TRW

Forkey Doe mengakhiri kemarau jaringan di Kota Bharu dengan meledak ketika pertemuan menentang Felda United FC.
Penyandang juara, The Red Warriors (TRW) berdepan laluan sukar untuk menempah tiket ke pentas final Piala FA musim ini setelah sekadar mencatatkan keputusan seri 3-3 dengan Felda United FC pada aksi separuh pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa lalu.

Kejayaan The Fighters menjaringkan tiga gol di Kota Bharu memberikan kelebihan buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim untuk mencipta sejarah menjadi kelab kedua selepas Sime Darby FC melangkah ke perlawanan akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Apa pun, masih ada baki 90 minit untuk aksi timbal balas di Stadium Shah Alam pada 31 Mei ini dan Felda United FC tidak boleh bermegah untuk mengatasi Kelantan di gelanggang tumpangan mereka itu.

Ini kerana, Kelantan tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan slot perlawanan akhir bertukar tangan kepada Felda United FC kerana mereka juga pastinya bersemangat untuk memburu kemenangan lebih-lebih lagi bakal mendapat sokongan daripada puluhan ribu penyokong TRW di Lembah Kelang.

TELAJANG KELEMAHAN

Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, George Boateng bermula agak buruk apabila membenarkan pasukan Liga Premier itu memperkotak-katikkan mereka di hadapan 20,000 penyokong sendiri sehingga ketinggalan 0-3 dalam tempoh 36 minit perlawanan berlangsung.

Edward Junior Wilson, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Khairul Ismail menelanjangkan kelemahan yang dicipta benteng pertahanan tuan rumah biar pun ditunjangi pemain import baharu, Hussein Alaa Hussein Salman dalam perlawanan tersebut.

Ini memaksa Boateng, bekas pemain antarabangsa Belanda yang sebelum itu berada di tempat duduk orang kenamaan meluru ke bangku simpanan pasukannya untuk memberi arahan setelah anak didiknya tenggelam punca sepanjang aksi babak pertama.

JARINGAN SULUNG

Kelantan seharusnya perlu berterima kasih kepada Francis Forkey Doe kerana jaringan sulungnya pada minit ke-41 membakar semangat rakan sepasukannya sebelum Ahmad Fakri Saarani menanduk masuk gol kedua dua minit babak pertama berakhir.

Malah ia merupakan jaringan sulung penyerang kebangsaan Liberia itu di gelanggang keramat Kelantan pada musim ini setelah mula menyarung jersi skuad gergasi pantai timur itu, awal Januari.

Bekas penyerang Harimau Muda A, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menjadi penyelamat apabila jaringan pada minit ke-52 memastikan pasukannya mengikat keputusan seri dengan kelab yang berpangkalan di Lembah Kelang itu.-SINARHARIAN

0 Response to "Laluan berliku TRW"

Post a Comment