Malaysia kempunan ke akhir

KUANTAN - Kanada bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memusnahkan harapan Malaysia ke perlawanan akhir selepas menundukkan tuan rumah 5-4 menerusi penalti penentuan dalam perlawanan separuh akhir kejohanan hoki Cabaran Juara-juara 1 semalam.

Kanada akan bertemu Korea Selatan yang me­numpaskan Ireland 2-1 dalam satu lagi separuh akhir.

Malaysia kelihatan menempah jalan mudah apabila mendahului 2-0 sebelum Kanada mengikat semula kedudukan.

Kanada sekali lagi mengikat kedudukan 2-2 dalam situasi pe­nalti penentuan untuk memaksa keputusan perlawanan ditentukan menerusi penalti sudden death.

Pemain Kanada, Gordon Jameson meranapkan impian Malaysia apabila berjaya memperdaya penjaga gol negara, S. Kumar dalam penentuan tersebut.

Malaysia tidak menunggu lama mencari untuk gol pertama perlawanan apabila Faizal Saari me­nyem­purnakan pukulan sudut penalti yang menewaskan penjaga gawang Kanada, Antoni Kindler pada minit kedua.

Kanada turut melakukan sera­ngan pada minit-12 setelah Taylor Curran membuat gerakan solo yang menewaskan beberapa pemain pertahanan tetapi gagal mengatasi ketangkasan penjaga gawang negara, S. Kumar.

Strategi permainan yang diatur oleh ketua jurulatih negara, Mohd. Dharma Raj Abdullah dalam mencari gol seterusnya berjaya pada minit-13 apabila Ismail Abu menambah gol kedua menerusi jaringan padang hanya untuk menyaksikan ketua pasukan lawan, Scott Tupper merapatkan jurang gol kepada 1-2 setelah menewaskan Kumar melalui pukulan sudut penalti minit-26.

Malaysia berpeluang menambah jaringan pada minit-49 tetapi percubaan Fitri Saari melewati gawang Kanada.

Ahmad Nasrudin gagal menambah gol negara apabila pukulan kencang yang dilakukan menerusi pukulan sudut penalti berjaya ditepis keluar oleh Kindler pada minit-57.

Bibit kehampaan kemudian mula dirasakan apabila Tupper menjadikan kedudukan kembali seimbang menerusi pukulan sudut penalti pada minit terakhir, sekali gus memaksa keputusan ditentukan menerusi penalti penentuan.

Gol Malaysia dalam penentuan penalti shoot-out dijaringkan Faizal Saari (2 gol), Fitri Saari dan Faiz Jali manakala gol Kanada dijaringkan Mark Pearson (2 gol), Gordon Johnston (2 gol) dan Adam Froese.

Sementara itu Korea Selatan menempah perlawanan akhir menerusi jaringan Jang Jung Hyun pada minit ketiga dan Hyun Hyen Sung pada minit ke-54 sebelum Ireland mendapat gol sagu hati enam minit sebelum permainan tamat.

New Zealand menundukkan Poland 6-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/8 manakala Perancis menang 3-2 ke atas Jepun.-UtusanOnline

0 Response to "Malaysia kempunan ke akhir"

Post a Comment