Penyokong Kedah harus bersabar


"PASUKAN bola sepak Kedah perlukan dua tahun lagi untuk kembali digeruni lawan seperti dilakukan mereka pada musim 2006/2007 dan 2007-2008."

Itu pandangan dilontarkan Raja Isa Raja Akram Shah yang melihat prestasi skuad Lang Merah musim ini masih tercari-cari rentak selepas tersungkur di saingan Liga Premier sejak tahun lalu.

Beliau yang kini mengendalikan pasukan kelab Indonesia, Persijap Jepara mahu peminat negeri jelapang padi itu bersabar kerana kejayaan tidak boleh dituai dengan jangka masa segera.

"Kedah boleh maju ke Liga Super dengan bersyarat. Mereka perlulah seia sekata dan sederap melangkah serta terus bersabar. Pasukan ini miliki banyak pemain muda berbakat yang boleh dikembangkan pada masa depan.

"Baddrol Bakhtiar adalah aset kepada pasukan Kedah. Beliau ada karakter memimpin pasukan. Di Indonesia, nama beliau tetap dikenang sebagai kapten Malaysia yang mengalahkan Garuda Muda pada aksi final Sukan Sea Jakarta 2011," katanya, baru-baru ini.

Menurut Raja Isa, 66, pasukan Kedah perlu memanfaatkan teknologi sukan yang sekarang ini digunakan kem Malaysia dan juga di Liga Perdana Inggeris.

"Menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Kedah bagi tujuan data, statistik dan analisis prestasi, saya percaya pasukan itu mampu bangkit ke arah kemajuan. Pokoknya, mereka mesti berani berubah," katanya.

Diajukan soalan jika berminat menerajui kejurulatihan bersama pasukan Kedah pada masa depan, beliau lantas tidak menolak jika ada kesempatan.

"Sekarang ini, Kedah diterajui sementara Tan Cheng Hoe dan saya yakin kebolehan beliau," katanya.

0 Response to "Penyokong Kedah harus bersabar"

Post a Comment