Rangel boleh lupakan Harimau Malaya

Paulo Rangel
KUALA LUMPUR - Penyerang import berbisa Selangor, Paulo Rangel boleh melupakan impian untuk me-nyarung jersi Harimau Malaya kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah bercadang untuk membuka pintu kepada pemain luar.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hendak membawa masuk pemain naturalisasi juga bukan mudah kerana proses menukar kerakyatan seseorang pemain luar negara memakan masa yang sangat panjang.

Beliau memberitahu, situasi melibatkan Rangel tidak sama seperti Brendan Gan kerana urusan pemain muda Kelantan itu lebih mudah memandangkan bapanya merupakan warganegara Malaysia.

"Antara prosedur yang perlu dilaksanakan ialah mendapatkan taraf penduduk tetap sebelum boleh memohon untuk mendapatkan taraf warganegara dan proses ini memakan masa bertahun-tahun.

"Selepas mendapatkan taraf warganegara, perkara itu perlu dirujuk kepada FIFA bagi memastikan status Rangel sama ada pernah beraksi bersama skuad Brazil atau sebaliknya.

"Sekiranya segala urusan berjalan lancar sekalipun, Rangel ketika itu sudah berusia lebih 30 tahun untuk me­nyarung jersi Harimau Malaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Rangel yang berusia 29 tahun menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan jika diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.

Pemain kelahiran Brazil itu turut mempamerkan aksi cemerlang musim ini bersama Selangor dengan menja­ringkan 10 gol dalam 13 penampilan Liga Super.

Hamidin memberitahu, FAM juga tidak mempunyai sebarang peranca­ngan untuk membuka pintu bagi tujuan naturalisasi pemain seperti yang diamalkan beberapa negara jiran termasuk Singapura.

Beliau berkata, proses itu bukan mudah kerana ia melibatkan urusan kerajaan dan berisiko tinggi terutamanya jika pemain yang dipilih itu tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

www,utusan.com.my

0 Response to "Rangel boleh lupakan Harimau Malaya"

Post a Comment